
MAHU tidak mahu aku terpaksa bersetuju dengan lamaran Encik Nadhim. Patutlah daripada awal-awal lagi aku berniat tidak mahu menerima pekerjaan sebagai pembantu dia. Rupa-rupanya, hal ini yang akan terjadi. Walaupun masih belum menjadi buah mulut orang, untuk elak daripada perkara itu berlaku, adalah lebih baik kahwin saja. Oh, mudah sungguh bunyinya walhal perkahwinan itu bukannya boleh diambil ringan.
Aku picit dahi. Dalam kepala ada satu benda yang aku fikir. Macam mana aku nak hidup bersama dia kalau dalam hati aku ni langsung tak ada rasa cinta pada dia. Suka? Erm, sukalah sebab dia bos. Takkan nak benci bos sendiri kut? Memang ya aku mengaku dia agak cerewet di awal-awal perkenalan kami tapi tak adalah sampai timbul perasaan benci. Tak ada langsung. Tapi, kalau aku selalu kutuk dia dalam hati tu, adalah.
Ish, kalau aku asyik berfikir macam ni, satu apa pun aku tak boleh nak buat. Cadar putih yang berada di tangan segera aku bentangkan atas katil. Selepas itu, aku kutip semua pakaian Encik Nadhim lalu aku masukkannya ke dalam bakul untuk dihantar ke bahagian dobi.
Hish, tak padan dengan umur 33 tahun.. pakaian kotornya merata-rata tempat! Satu per satu aku terpaksa kutip dari atas lantai. Kenapalah dia tak boleh masukkan sendiri pakaian kotor dia itu ke dalam bakul? Ringanlah sikit kerja aku ni nanti. Adoi, tak berperasaan sungguh dia. Kata nak kahwin dengan aku, kenalah tunjuk perangai elok-elok sikit. Ini tak, macam budak-budak. Nah, sebakul aku membebel dalam hati.
“Lily!”
Hah, itu suara Kak Ja. Segera aku meletakkan bakul di hujung katil lalu menuju ke pintu. “Kak Ja, ada apa?”
“Betul ke Lily nak kahwin dengan Encik Nadhim?” Wajah Kak Ja ceria apabila melontarkan pertanyaan itu. Ini mesti dah heboh satu resort. Mesti punya!
“Ya,” sepatah aku menjawab. Malas. Tak teruja. Langsung tak berasa gedik.
Kak Ja tersengih. Lekas-lekas dia naik ke chalet. “Untungnya Lily..,” bahuku ditepuk lembut oleh Kak Ja.
“Untung apanya, kak. Terpaksa kahwin. Tak ada yang untunglah.”
“Eh, apa pulak tak untung. Encik Nadhim tu orang kaya, tau,” bidas Kak Ja.
“Alah, apa saya hairan dengan harta kekayaan? Bukannya kekal sampai ke mati. Hanya senang atas dunia aje. Mana boleh dibawa sampai ke akhirat,” aku mencebik kecil. Selamba saja aku membalas balik kata-kata Kak Ja.
“Amboi bercakap. Kalah ustazah,” Kak Ja buat muka panjang. Dah macam zirafah kat Afrika aku tengok.
“Bukanlah macam tu, Kak Ja. Saya harap Kak Ja dan kawan-kawan kita yang lain tak salah anggap pasal saya. Mentang-mentanglah Encik Nadhim tu orang kaya, karang tak pasal-pasal pulak orang tuduh saya nak kahwin dengan dia di sebabkan harta benda yang dia ada. Sedangkan, orang tak tahu apa sebab saya kena kahwin dengan dia. Kononnya tak nak timbul fitnah di kemudian hari kerana selalu sangat berdua-duaan dengan dia. Sebab itulah dari awal-awal lagi saya tak nak kerja sebagai pembantu peribadi ni. Menyusahkan diri saya sendiri ada la. Dah elok-elok Kak Ja letakkan saya sebaris dengan Milah dan yang lain-lain untuk bersihkan chalet, tiba-tiba pulak Kak Ja transfer saya jadi pembantu peribadi Encik Nadhim. Kak Ja tak kena tapi saya ni yang kena,” nah.. panjang lebar pulak aku menjelaskan pada Kak Ja.
“Jadi, Lily setujulah, ye?” Soal Kak Ja seolah-olah dia langsung tak nak ambil peduli apa yang aku cakap. Nak tukar topiklah tu.
“Nak buat macam mana kak, kalau mak Lily pun dah terima. Abang Lutfi pun sama,” jawabku sedikit kesal. Kesal sebab mereka berdua buat keputusan membelakangkan aku, tuan empunya badan yang nak kahwin.
Kak Ja melepaskan keluhan panjang. Begitu jelas kedengaran di cuping telinga aku yang tak berapa nak capang ni.
“Jadi, kahwin paksalah ni?”
Aku mengeluh sesaat. “Tak adalah paksa-paksa pun. Kalau paksa, takkanlah saya masih tercongok kat sini lagi. Dah tentu saya lari.”
“Ambil positif la, Lily. Anggap saja inilah jodoh Lily yang sebenar. Bukan akak tak tahu, dah banyak pinangan orang yang Lily tolak selepas kematian..,”
“Dahlah, Kak Ja. Jangan sebut lagi..,” pintaku sambil buat muka sedih. Dalam keadaan aku yang sudah bersedia nak kahwin dengan Encik Nadhim, tak sedap pulak rasanya nama arwah Abang Idham disebut-sebut. Entahlah, aku berasa bersalah tiba-tiba.
Sewaktu arwah Abang Idham masih ada, kami pernah berjanji nak sehidup semati kononnya. Last-last, Allah dah ambil dia dulu. Tak apalah, nak buat macam mana. Aku redha saja.
Betul ke aku redha? Kalau benarlah aku redha, tak adanya aku nak pergi ziarah kubur arwah hampir setiap hari selama dalam tempoh 3 tahun ini. Kalau betul aku redha, bukan begitu caranya. Memang benar apa yang ibu aku cakap. Kalau aku sayangkan arwah Abang Idham, aku tak boleh terus-menerus bersikap begini.
Sudah tibakah masanya untuk aku berubah? Mungkin ya dan mungkin juga tidak. Oh, nanti kasihan pula pada Encik Nadhim bila dia sudah sah menjadi suami. Aku risau kalau sekiranya aku membayangkan Encik Nadhim itu adalah arwah Abang Idham. Ya Allah, mental betul aku ni nak membayangkan perkara yang bukan-bukan.
“Yalah, akak minta maaf, ya? Lain kali akak tak sebut-sebut lagi dah. Erm, lepas ni akak harap Lily bahagia dengan Encik Nadhim. Akak doakan yang terbaik untuk Lily,” kak Ja meletakkan sebelah tangannya pada bahuku. Memberi semangat mungkin.
Aku tersenyum tawar. Tak ada rasa perasaan aku sekarang ini. Manis ke, masin ke, pahit ke. Encik Nadhim akan jadi milik aku tapi masalahnya, macam mana aku nak layan dia nanti sebab aku tak ada apa-apa perasaan istimewa pada dia. Kalau aku tetap melayannya sama seperti sekarang, boleh tak? Layan dia sebagai bos saja dan bukan sebagai suami. Ish, bunyi macam isteri derhaka aje? Masuk neraka! Tak nak aku.
Alangkah bagus kalau sebelum ini Milah yang take over tempat aku sebagai pembantu Encik Nadhim. Sudah pasti Encik Nadhim pilih dia untuk dijadikan isteri. Kalau bagi Encik Nadhim pada Milah, tentu melompat budak tu dapat kahwin dengan orang kaya. Bukan aku tak tahu perangai Milah. Tak semengah langsung!
“Tak apalah, Kak Ja. Lily tak marah pun. Cuma Lily rasa macam tak selesa bila dah dekat-dekat nak kahwin dengan Encik Nadhim ni, nama arwah pula yang disebut-sebut. Saya rasa bersalah.”
“Eh, nak rasa bersalah kenapa pulak?”
“Entahlah, kak. Saya rasa macam menduakan arwah Abang Idham je.”
“Haih.. jangan cakap macam tu, Lily. Tak baiklah,” Kak Ja menepuk lenganku agak kuat.
Adoi, agak-agaklah. Ingat lengan aku ni batang kayu ke? Aku gosok lengan kananku yang berasa perit. Kak Ja punya penangan, memang dahsyat. Kalau dia marah, telinga si Megat Tarawih itu pun selamba saja dipiat-piatnya. Ha ha ha..
“Okeylah, akak banyak kerja ni. Akak masuk office dulu ek. Lepas ni Lily tak payah la buat kerja-kerja tu lagi sebagai pembantu Encik Nadhim..,” mulut Kak Ja memuncung ke arah bakul pakaian yang berada di hujung katil. “Tapi, Lily kena buat kerja-kerja tu sebagai isteri Encik Nadhim pula. Faham tak maksud akak ni?”
Aku mencebik kecil. Faham sangat. Itu tak lain tak bukan, mesti nak sebut soal tanggungjawab isteri dalam rumahtangga. Cuci pakaian, masak dan macam-macam lagilah.
Aku angguk aje. Malas nak menjawab secara lisan. Makin dijawab dengan suara, makin tak bergeraklah Kak Ja dibuatnya. Bukan aku tak tahu perangai Kak Ja ni. Pantang diajak bersembang! Itulah yang Encik Saad marah sangat tu. Buat kerja dengan tangan, katanya. Bukan dengan mulut. He he he..
Sejurus Kak Ja beredar, aku mengambil keputusan untuk masuk ke dalam chalet semula. Bakul pakaian aku tarik dalam pelukan. Tercium bau perfume dari salah satu pakaian yang ada di dalam bakul ini walaupun ia adalah pakaian yang sudah dipakai Encik Nadhim semalam.

Aku duduk di birai katil. Tak jadi nak keluar. Bauan perfume yang selalu dipakai oleh Encik Nadhim itu menggamit satu kelainan dalam diri. Aku tak faham kenapa. Rasa macam suka. Rasa macam nak cium lebih dekat pakaian yang aku maksudkan itu.
Hah, sudah. Apa hal aku ni? Mereng dah ke? Aku ketuk-ketuk kepala. Cuba menghilangkan rasa suka yang aku maksudkan itu tetapi tidak Berjaya. Failed! Tak semena-mena pula, aku ambil sehelai kemeja berwarna biru lembut dari dalam bakul lalu aku rapatkan ke hidung.
Aku tutup mata. Menarik nafas seketika. Menyedut bauan yang melekat di situ. Kemudian, aku rasa macam tak betul. Lekas-lekas aku buka semula mata dan secara spontan aku campak kemeja itu ke lantai.
Apa dah jadi dengan aku ni? Kenapa aku buat macam tu? Kenapa aku cium baju kemeja yang masih belum dicuci itu? Ya Allah, entah-entah Encik Nadhim ada jampi-jampi pada perfume dia tak? Supaya, aku boleh jatuh hati pada dia?
Erk, tak logik. Encik Nadhim tu orangnya educated sangat-sangat. Takkanlah dia percaya dengan benda-benda karut lagi tahyul macam tu. Ah, aku saja yang berkhayal lebih.
“Assalamualaikum.”
Terperanjat aku! Aduh, rasa berdebar tiba-tiba. Aku perhati jam di tangan. Baru saja pukul 9.30 pagi. Bukan ke sepatutnya dia berada di pejabat pada ketika ini?
Aku bangkit dari katil dan terus menuju ke pintu. Di bawah chalet, Encik Nadhim sedang tersenyum lebar. Wah, lebarnya senyuman dia. Sikit lagi nak cecah telinga.
“Waalaikumussalam,” jawabku. Agak lambat juga nak jawab. Bukan apa, terkedu sekejap bila pandang muka dia yang disimbah mentari pagi. Seolah-olah ada mentol lampu kuning yang tergantung atas dahi dia. Hensem kut.. kut?? Dia memang kacak pun. Itu memang aku tidak dinafikan.
“Turun sekejap,” arahnya. Masih tersenyum lebar dari tadi. Tak pernah lekang pun.
Sejak akhir-akhir ini, boleh di katakan 24 jam aku dapat tengok dia senyum. Kalau sebelum-sebelum ni, haram nak senyum. 5 saat pun tak nak. Kedekut betul senyuman dia tu. Macamlah mahal sangat. Mentang-mentanglah kacak bergaya.
Kalau tak senyum pun, mungkin tak apa-apa bagi dia. Ramai saja perempuan lain yang tergoda dengan dia walaupun muka dia masam mencuka. Menyampahnya. Haih, aku rasa tergugatkah? Tiba-tiba pulak.
“Ada apa, Encik Nadhim. Saya ada banyak kerja kat dalam tu.”
“Tak ada apa-apa. Saya cuma nak berbual.”
“Tapi Encik Nadhim tak kerja ke?”
“Tak ada mood nak buat kerja. Tiba-tiba saya rasa nak berbual dengan Lily. Marilah sekejap.”
“Tapi, kerja-kerja saya yang kat dalam tu tak selesai lagi. Nanti Encik Nadhim marah pulak.”
“Tak apa. Tinggalkan dulu kerja-kerja tu. Nanti saya arahkan orang lain yang buat,” katanya sambil berlalu.
Aku masuk ke dalam chalet semula dan keluar beberapa saat selepas itu. Pintu chalet aku tutup dan kemudiannya terus bergegas mengekori Encik Nadhim dari belakang.
Dia berpaling lalu menghadiahkan senyum. Aku membalas tanpa perasaan. Senyuman yang terpaksa dibuat-buat sebenarnya. Kenapalah dengan kau ni. Lily? Tak boleh ke kau senyum elok-elok sikit? Orang yang sedang berdiri di depan kau sekarang ini adalah bakal suami kau. Cubalah bermanis muka. Satu suara tiba-tiba duk main hasut-hasut aku pulak. Yalah, yalah. Aku senyum baik-baiklah ni. Nak baik macam mana lagi?
“Encik Nadhim nak cakap apa dengan saya?”
“Jom kita ke pantai.”
“Tak nak la.”
“Kenapa pulak?”
“Panas la. Matahari dah naik tu,” aku merungut tiba-tiba. Buat-buat bibir muncung pulak tu.
“Matahari pagi, kan bagus untuk kesihatan kulit?” Encik Nadhim bergerak ke depan. Langsung tak hiraukan aku yang masih tercegat.
Dia tak peduli langsung aku tak nak pergi. “Encik Nadhim!” Lantang aku memanggil memandangkan dia sudah semakin menjauh.
Dia berpaling. “Panggil saya abang!”
Erk! Aku terkejung seketika. Dia kemudiannya memandang ke depan semula dan terus melangkah menuju ke pantai. Mahu tak mahu, terpaksalah aku ikut juga kemahuannya. Biarlah. Simpatilah sikit pada dia. Anak yatim piatu tu.
Angin yang berhembus dari arah laut agak kuat pagi ini. Aku rasa, petang nanti mungkin hujan akan turun. Di sana, aku perhatikan Encik Nadhim sedang merenung ke arah pusat lautan. Kedua-dua pinggangnya juga dicekak. Macam jauh sangat dia berkhayal. Fikir apa agaknya. Harap-haraplah dia berhajat mahu membatalkan perkahwinan itu. Selamat aku daripada menjadi mangsa kesunyian dia. He he he..
Aku menggeleng apabila melihat kelakuannya. Agak pelik pagi ini. Selalunya kalau dalam soal kerja, dia tak pernah main-main. Mesti dia buat kerja mengikuti waktu pejabat macam biasa walaupun kerja-kerjanya di pejabat itu bukannya banyak sangat pun. Kebanyakannya lebih diuruskan oleh Encik Jamali dan Encik Saad.
Tapi hari ni lain pulak perangainya. Baru saja pukul 9.30 pagi, dah tak ada mood nak kerja. Nak kena piat telinga ni. Malas kerja. Huh.. sangat tidak patut.
“Encik Nadhim,” panggilku perlahan.
Dia menoleh selepas menyedari aku kini sedang berdiri di sebelahnya.
“Lily dah bersedia nak jadi isteri saya? Tak lama lagi, kita akan disatukan. Saya berharap sangat Lily betul-betul dah bersedia.”
Aku kemam mulut. Entahlah. Pe’el perangai aku pun agak pelik-pelik sekarang ini. Dah berjangkit dengan Encik Nadhim agaknya. “Err.. Encik Nadhim tak ada teman wanita ke?” Ki ki ki.. selagi aku boleh elak, aku akan elak untuk menjadi isterinya. Manalah tahu kan, tiba-tiba dia boleh berubah fikiran dalam sekelip mata. Perkara ajaib yang tak terjangkau dek fikiran itu boleh ada di mana-mana.
Mustahil, kan? Takkanlah orang kaya, segak bergaya macam Encik Nadhim tak ada teman wanita di Kuala Lumpur itu. Barangkali ada dan mungkin juga sudah putus hubungan atau apa-apa sajalah yang aku sendiri tidak tahu.
Dia nampaknya tidak mahu menjawab pertanyaan itu. Lekas-lekas dia mengeluarkan sebentuk cincin dari dalam poket kot yang dipakainya lalu dihulurkannya pada aku.
“Untuk apa ni, Encik Nadhim?”
“Saya mahu Lily pakai cincin ni sebagai tanda yang Lily adalah hak saya.”
Oh… hak. Perkataan ‘hak’ itu tiba-tiba membuatkan aku rasa seram sejuk semacam. “Biarlah dulu. Encik Nadhim simpan ajelah sebelum tarikh pertunangan kita tu akan diadakan. Masa majlis pertunangan tu nanti, bolehlah saya pakai cincin ni.”
“Tak boleh. Saya tak mahu menunggu hari pertunangan untuk Lily pakai cincin ni. Saya mahu Lily pakai sekarang.”
“Tapi kenapa?”
“Lily nak saya berterus-terang?”
Aku angguk. Dia nak berterus-terang apa ni? Alahai, tak sedap perut betullah aku dengan dia ni.
“Saya tak suka Anuar tu. Pandang Lily semacam aje. Dia ada hati dengan lily ke?”
Nah, itu dia. Soalan cepu emas daripada bakal suami yang belum apa-apa lagi sudah menunjukkan aksi cemburu buta. Nak aku reject awal-awal ke ni?
“Er, tak adalah. Eh, ada..,” tergagap-gagap sudah aku ni. Dah cuba-cuba pandai nak berbohong. Kalau boleh, aku nak berterus-terang dari sekarang. Tidaklah nanti timbul salah faham di kemudian hari.
“Yang mana satu betul ni? Ada ke tak ada?” Soalnya lagi.
Wajahnya yang cerah itu tiba-tiba bertukar kusam. Macam marah aje? Takkan kut? Aku belum bersedia lagi untuk dimarahi.
“Sebenarnya ada. Tapi, itu cerita lama. Dah basi pun.”
“Lily ada layan dia?”
“Taklah. Saya tak pernah layan dia. Pernah juga dia hantar wakil merisik tapi saya tolak. Masa tu, saya memang dah banyak kali tolak pinangan orang. Saya belum bersedia untuk terima lelaki lain dalam hidup saya selepas pemergian arwah Abang Idham,” jawabku secara telus dan jujur. Aku mohon dalam hati agar Encik Nadhim percaya mengenai penjelasanku tentang Anuar si perokok tegar itu.
“Baguslah. Tenang sikit hati saya,” dia memberi senyuman nipis dan juga terangguk-angguk perlahan.
Suasana jadi sepi. Hanya bunyi deruan ombak sahaja yang kedengaran. Kemudian, aku berfikir sejenak. Apa kata kalau aku ajak dia berbual perkara yang santai-santai. Agak-agak, dia nak jawab ke tidak?
“Hari tu kan, tak sempat saya nak tanya. Err.. kenapa Encik Nadhim cukur misai dan janggut hanya disebabkan saya?” Adoi, apa punya soalan aku ni? Malunya. Kalaulah aku dapat sembunyikan muka aku dalam pasir sekarang ni kan, alangkah bagusnya.
Dia tersengih-sengih lalu meletuskan tawa kecil. Kepalanya tergeleng-geleng. Agaknya, dia tidak menyangka yang aku akan mengajukan soalan maut itu.
“Sebab… manalah tahu, dalam keadaan hidup saya yang sunyi macam ni, boleh pancing seseorang untuk dijadikan pasangan hidup. Kalau muka saya berjambang, perempuan manalah yang nak. Nasib baik Lily ada. Agaknya, nak tak Lily dekat saya selepas saya bercukur macam ni? Nak tak? Sebab itulah saya cakap, saya buang misai dan janggut saya selepas berjumpa dengan Lily. Sejak pertama kali saya jejakkan kaki ke pulau ini, Lily adalah perempuan pertama yang rapat dengan saya. Tak ada perempuan lain lagi yang boleh menyebabkan saya membersihkan apa yang tak bersih pada muka saya. Nak tak Lily dekat saya?”
Ya rabbi! Ada ke patut dia tanya aku soalan macam tu? Dia ingat seorang gadis pingitan macam aku ni boleh jawab macam tu saja? Oh, please la Encik Nadhim Amir. Aku bukannya gadis kota yang berani mengaku depan-depan kalau sukakan seseorang lelaki itu. Apalah dia ni. Tak romantik langsung. Main terjah tanya macam tu saja?
Nak ke? Tak nak ke? Entahlah. Kalau kata tak nak, aku dah setuju nak kahwin dengan dia. Aku tak mahu mungkir janji. Tak baik. Dosa.
Aku tersenyum. Tak tahu nak balas apa dengan pertanyaan itu. Malu-malukah aku? Hui, tak payah nak berlagak dara pingitan sangat. Jawab sajalah apa yang dia tanya.
“Nak,” sepatah aku beri jawapan. Aku tunduk. Malu-malu kucing parsi.
“Okey, kita kahwin cukup bulan ni. Tak perlu tunang-tunang. Sekarang saya nak Lily pakai cincin ni,” lancar kata-katanya. Penuh yakin lagi tawadduk. He he he..
Cincin yang dihulurkannya itu, lambat-lambat saja aku sambut.
“Pakailah. Tentu cantik bila cincin tu berada di jari manis Lily. Saya harap. Lily suka dengan pemberian saya yang tak seberapa ni. Minggu depan ikut saya pergi ke Kuala Terengganu untuk beli cincin nikah. Saya mahu Lily pilih sendiri. Cincin saya bagi tu hanya sebagai tanda yang Lily adalah hak milik saya di resort ini. Sesiapa pun tak boleh kacau. Kalau saya dapat tahu ada orang cuba nak ganggu Lily lepas ni, siaplah orang tu saya kerjakan.”

Err.. Encik Nadhim mengepal penumbuk kiri sambil menggosok-gosok penumbuknya itu dengan tangan kanan. Oh no.. garang sangatlah pulak. Janganlah begitu. Aku tak suka lelaki garang.
Aku senyum. Apabila dia mengeluarkan kenyataan seperti itu, terasa pula diri aku ini betul-betul dihargai, dilindungi dan disayangi. Eh, sayang ke? Dia sayanglah kut. Sayang sebagai seorang pekerja. Mungkin tak lebih dari itu pun.
Entahlah, aku berserah saja pada takdir yang akan menentukan sejauh mana pendirian Encik Nadhim terhadap aku. Aku perlu mempersiapkan diri dari segi mental terutamanya. Kalau dari fizikal, rasanya tidak perlu. Kalaulah di satu ketika nanti dia tinggalkan aku selepas berjumpa dengan wanita yang betul-betul dicintainya, aku tak perlu nak rasa sedih-sedih sangat sebab aku tak cintakan dia. Muktamad.
Sedang aku mengelamun jauh, tiba-tiba ada jari yang memetik di hadapan mata. Jari siapa lagi kalau bukan dia.
“Apa yang Lily fikir?”
“Mana ada saya fikir apa-apa.”
“Daripada air muka Lily, saya rasa Lily macam tak percayakan saya.”
Laaa.. kuat betul instinct dia ni. Bukannya tak percayakan dia tapi aku sedang berfikir mengenai masa depan aku saja. Masa depan antara aku dan dia. Bolehkah kami hidup sebagai suami isteri kalau dalam hati masing-masing tak ada rasa cinta?
“Lily banyak diam daripada bercakap. Asyik saya saja yang bercakap dari tadi. Luahkanlah sesuatu. Kalau tak sukakan saya, cakaplah tak suka. Saya boleh batalkan saja perkahwinan kita.”
“Tak perlulah fikir sampai macam tu sekali. Saya tak ada apa-apa nak cakap sebenarnya. Saya.. entahlah, rasa macam mimpi sekarang ni. Tak sampai sebulan Encik Nadhim kenal saya, tiba-tiba saja..,”
“Tiba-tiba saja jodoh itu datang, kan? Lily, kalau Lily tak boleh buat semua ni untuk diri Lily sendiri tapi tolonglah lakukannya untuk saya. Maksud saya, bantu saya untuk hilangkan segala rasa sunyi hidup sebatang kara dengan mengahwini saya. Boleh tak Lily pasang niat macam tu?” Encik Nadhim tunduk merenung pasir selepas bertanyakan aku soalan itu.
Cepat betul dia potong cakap aku. Tertunduk aku dibuatnya apabila dia menyentuh soal jodoh. Ya Allah, betapa hebatnya kekuasaanMu. Dalam sekelip mata saja Kau telah menghadirkan seorang lelaki untuk aku. Adakah ini sebenarnya lelaki yang akan menggantikan arwah Abang Idham di sudut hati aku? Kalau inilah orangnya, aku.. aku terima. Manalah tahu kalau satu hari nanti, tiba-tiba saja Kau bukakan pintu hati aku untuk dia. Dan, manalah tahu kalau Kau meniupkan rasa cinta dalam hati aku untuk dia.



